Pelajar SMKTBB bersaing di pentas dunia
Kuala Pilah: Lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin (SMKTBB), Seri Menanti, dipilih mewakili Malaysia dalam First Global Challenge (Virtual Competition) 2020.
Lima peserta itu membabitkan dua pelajar Tingkatan Lima iaitu Muhammad Faiz Fakhrullah Zulkarnain, Imran Syakir Azmi dan Faris Haikal Faizel Azrim serta dua pelajar Tingkatan Empat, Mohamad Qassiem Iqbal Mohamad Adnan dan Abu Hurairah Jafri.
Ketua pasukan, Mohamad Qassiem Iqbal berkata, pertandingan bermula 18 Julai lalu hingga 25 September itu sepatutnya diadakan di Tokyo, Jepun, tetapi disebabkan wabak Covid-19, format pertandingan diubah dan diadakan secara dalam talian.
Katanya, SMKTBB antara dua sekolah dipilih mewakili negara selain Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT), Terengganu.
"Dalam pertandingan ini, kami perlu menyiapkan 25 tugasan keseluruhannya membabitkan pelbagai aspek merangkumi bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Kami perlu menghantar setiap tugasan itu bukan sahaja dalam bentuk penulisan, tetapi gambar dan video," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.
Mohamad Qassiem Iqbal berkata, cabaran kali ini amat sengit kerana disertai 174 negara di dunia.
